Oleh Soraya Jamal
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Mimpi bisa jadi kenyataan, asalkan kita bangun dan mengejarnya. Bagi Gerald Chuah, penulis buku "In the Eye of the Tiger", proses mengejar mimpinya mengambil masa hampir dua dekad.
Anak kelahiran Pulau Pinang ini dibesarkan dalam keluarga sederhana. Ketika di kolej, Chuah sudah mula bekerja kerana ibu bapanya tidak mampu membiayai kos pengajiannya.
Minatnya menonton filem pernah mencetuskan keinginan untuk menjadi pembuat filem, namun kekurangan dana memaksa Chuah melupakan cita-citanya itu.
Chuah merupakan seorang wartawan dengan Kumpulan New Straits Times dan beliau kini adalah penulis di bahagian `Life and Times'.
Filem kegemaran Chuah ialah "Rambo" lakonan Sylvester Stallone kerana beliau kagum dengan semangat watak Rambo yang berani, mempunyai keazaman serta jati diri yang ampuh. Kebanyakan orang menonton filem untuk berhibur tetapi Chuah mendapati banyak sekali nilai murni dalam filem itu.
"Saya sering berfikir tentang masa depan. Tentang apa yang perlu saya lakukan dan bagaimana untuk menambahbaik kehidupan. Stallone dan filem-filemnya memberi inspirasi kepada saya meneruskan hidup pada waktu itu," katanya kepada Bernama.
Perjalanan Stallone untuk terkenal di Hollywood sendiri adalah sesuatu yang luar biasa. Stallone dilahirkan dengan pelbagai kekurangan fizikal dan yang paling ketara sekali adalah masalah pertuturan. Kerana itu Stallone bagus dengan kata-kata singkat dan menggunakan tubuhnya untuk berkomunikasi. Atas sebab yang sama juga Stallone lebih banyak beraksi dari berdialog di dalam filem-filemnya.
Rocky, legenda tinju dan Rambo, veteran Perang Vietnam yang bermasalah adalah dua watak ikon Stallone tentang mereka yang tertindas berjuang untuk mengubah nasib masing-masing.
ILHAM MENULIS BUKU
Satu hari ketika mengenang liku-liku hidup yang telah dilaluinya, Chuah bertanya pada dirinya: "Kenapa tidak saya tulis sebuah buku tentang perkara yang saya tahu dan suka iaitu falsafah dan pengajaran hidup daripada kehidupan dan filem Stallone? Mungkin ia dapat membuka peluang bagi saya untuk berjaya dan berjumpa Stallone.
Ia hanya sebuah idea yang tercetus dalam fikiran tetapi Chuah yakin sekiranya inginkan sesuatu dan percaya dengannya, ia akan berhasil.
"Tetapi waktu itu saya tidak tahu bagaimana hendak menulis (buku), saya tidak tahu bagaimana untuk menerbitkannya, saya tidak pernah berjumpa dengan Stallone, saya tidak kenal sesiapa...senang cerita segalanya kosong," jelasnya.
Chuah membuat kajian utama daripada filem-filem Stallone yang membawa mesej kuat. Bahan-bahan rujukan lain seperti dokumentari, buku, majalah dan arkib suratkhabar turut menjadi sumber sampingan.
"Saya menulis daripada hati. Saya sudah tahu apa pengajaran yang saya dapat dari filem-filemnya jadi ketika menulis saya menyusun semula kesemua isi yang membuatkan saya terinspirasi.
"Bila saya dengar temu ramah dengan Stallone, dia seolah berkata sesuatu yang saya sendiri juga akan katakan. Saya rasa seolah-olah fikiran kami menyambung," kata Chuah dengan penuh yakin.
RESTU STALLONE
"Namun seperti kebanyakan orang, saya suka berlengah," cerita Chuah.
Sungguhpun sedar projek ini adalah sesuatu yang telah beliau usahakan bertahun-tahun, ia belum lagi beliau kembangkan menjadi sebuah penerbitan, malah sempat juga terfikir untuk menjadikan naskhah ini sebagai e-buku sahaja.
Semangat Chuah untuk menyiapkan buku itu kembali membara akhir tahun lepas. Ketika itu filem Rocky Balboa bakal ditayangkan dan Chuah pada mula memberi masa sebulan kepada diri sendiri untuk menyiapkan buku itu dan menggelarkannya `Cabaran Rocky'.
"Pada 12 Dis, saya kirim e-mel kepada ibu stallone, Jackie, meminta agar saya dapat menghadiri tayangan perdana Rocky Balboa tetapi tidak mengharapkan sebarang balasan. Bagaimanapun saya mendapat respons serta merta mengatakan "Gerald, saya sudah mencari anda berminggu-minggu! Saya akan datang ke Malaysia!," kata Chuah.
Chuah ketika itu sudah mengenali ibu Stallone selama dua tahun selepas diperkenalkan oleh seorang ahli perniagaan Amerika yang ditemui ketika melaksanakan tugasan.
Lantas saya ambil cuti panjang dan Jackie merasmikan buku itu pada 22 Jan, hari terakhir cuti saya, ujar Chuah sambil tersenyum puas.
Dan tiada nikmat yang paling berharga buat Chuah bila Jackie berkata setiap perkataan dalam bukunya adalah benar belaka dan inilah prinsip hidup mereka anak-beranak.
Jackie menambah Stallone turut teruja dan terkejut bagaimana Chuah yang hanya sekali ditemuinya ketika perasmian Planet Hollywood Singapura pada tahun 1997 boleh mengingati segala-galanya tentang dirinya.
"Saya rasa seperti di awangan ketika Stallone merestui dan suka dengan buku saya. Selama ini orang ingat saya gila. Mereka tidak mengerti dan fikir saya seorang yang pelik," katanya.
BUKAN AUTOBIOGRAFI
Pasti ramai yang menyangka buku ini adalah autobiografi Stallone tetapi ia sebenarnya adalah buku motivasi pertama di dunia yang mengumpulkan pengajaran yang terdapat dalam filem-filem Stallone.
Walaupun filem pertama Rocky muncul lebih 30 tahun lepas, pengajarannya masih relevan hingga kini. Ramai pakar dan penulis motivasi antarabangsa menggunakan petikan daripada filem Rocky dalam ceramah dan buku mereka seperti Anthony Robbins, Jack Canfield dan Robert G. Allen, ujar Chuah.
Menurut Chuah kebanyakan buku motivasi membicarakan formula untuk berjaya, tetapi ia jarang membawa pembaca melalui perjalanan menuju kejayaan seperti apa difikiran seseorang itu ketika sedang berjuang untuk hidup, bagaimana sikapnya, apa kepercayaan serta pendiriannya.
Mesej yang mendasari filem Rocky dan yang dipegang Chuah selama ini ialah dia sanggup mencuba dan berusaha mendorong dirinya sejauh mana yang termampu.
Tambahnya, Rocky juga berhadapan dengan persoalan yang serupa tetapi dia mencabar dirinya sendiri untuk melihat sejauh mana dia mampu mara dalam hidup.
Bagi Chuah mesej ini penting untuk semua kerana ia membuatkan kita sedar dengan kekuatan diri dan menyakini diri sendiri.
Projek Chuah seterusnya ialah mendokumentasi "Rocky" sebenar dalam hidup - mereka yang berjaya menempuh halangan dan keperitan untuk berjaya.
Chuah sedang mencari penerbit buku untuk pasaran antarabangsa menjelang tayangan filem Rambo 4 kemungkinan besar Mei tahun depan.
Bab pertama "In the Eye of the Tiger" boleh dimuat turun secara percuma di laman web www.stallonism.com.
Cita-cita Chuah telah membawanya mengembara daripada sebuah filem yang telah mencetuskan inspirasi, bertukar menjadi angan-angan, berkembang menjadi cita-cita dan akhirnya menjadi kenyataan.
"Kalau saya boleh buat, sesiapa juga pasti mampu, berilah peluang pada diri sendiri untuk menggapai mimpi," katanya. -- BERNAMA
http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=267988

No comments:
Post a Comment